Select Page

Tidak lama lagi masyarakat Islam akan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Bagaimanapun bukan semua pesakit digalakkan untuk berpuasa. Pesakit kencing manis yang beragama Islam berkemungkinan menghadapi risiko komplikasi berkaitan penyakit tersebut seperti hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi yang lebih tinggi ketika mereka berpuasa.

Salah satu Rukun Islam ialah menyempurnakan puasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik terutama diabetes, mereka masih ingin memenuhi tuntutan berpuasa.

Bilangan kemasukan ke hospital bagi kes kecemasan berkaitan kencing manis didapati lebih tinggi pada bulan Ramadan. Hal ini menunjukkan bahawa tahap pengurusan kencing manis oleh penghidapnya berada di bawah paras optimum dalam tempoh 30 hari berpuasa.

Presiden MEMS, Prof. Dr. Azmi Kamaruddin berkata, pesakit diabetes menghadapi pelbagai cabaran walaupun ketika berada dalam situasi yang optimum ini. Dalam situasi bulan Ramadan, mereka memerlukan tuntutan yang luar biasa terhadap kemampuan tubuh. “Apabila seseorang menahan diri daripada makan dan minum, perubahan fisiologi yang tertentu akan berlaku. Bagi pesakit Islam yang menghidap diabetes, sekiranya mereka tidak membuat sebarang penyelarasan sebagai persediaan menghadapi bulan puasa, komplikasi boleh berlaku, dan mengakibatkan mereka masuk wad hospital. “Berpuasa merupakan keputusan penting yang perlu disepakati secara bersama setelah menimbangkan dengan teliti akan risiko yang berkaitan dan kesan yang mungkin wujud kesan daripada berpuasa,” katanya.

Prof Dr. Nor Azmi berkata, sepatutnya pesakit diabetes mesti berunding dengan pakar penjagaan kesihatan mereka tentang berpuasa.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil perhatian oleh pesakit diabetes semasa menyempurnakan ibadah puasa bagi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka;

1. Dapatkan khidmat nasihat pakar.

Pesakit diabetes sebelum menunaikan ibadah puasa perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor bagi memastikan mereka benar-benar boleh menjalankan ibadah puasa.

2. Kerap membuat ujian darah.

Pesakit diabetes perlu terus membuat ujian darah jika mereka sudah rasa simptom-simptom hipoglikemia.

3. Hidrasi badan.

Pesakit diabetes perlu sentiasa hidrasikan diri setelah berbuka sehingga waktu sahur dan elakkan gula serta kafein.

4. Lewatkan sahur.

Bersahur pada hujung waktu bagi mengelakkan hipoglikemia semasa berpuasa.

5. Kurangkan aktiviti fizikal.

Pesakit diabetes tidak digalakkan untuk membuat aktiviti-aktiviti fizikal yang lasak sepanjang berpuasa serta jauhkan dari kepanasan cahaya matahari.

Kami di pihak Inspire Cafe ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik, In Sha Allah.